Sejarah.

Assalamualaikum.
Sejarah pembukaan kampung ini telah diceritakan oleh orang terdahulu dimana kini dianggap satu lagenda sahaja.Cerita ini saya tulis kembali dari artikel bekas Ketua kampung Allahyarham Haji Layar bin Atong.PKL.JP.pada tahun 1980.Dengan usaha ini dapatlah kiranya menyambung harsat beliau untuk menyebarkan penulisannya.


Menurut beliau hasrat mencatit sejarah pentadbiran adat Perpateh kampung Inas bermula pada tahun 60an lagi,kerana sekian lama dialami adat ini semakin pudar sinar gemilangnya,oleh kerana perasaan cinta pada pentadbiran ini beliau cuba meluangkan masa menulis dengan menyelidik dari ahli-ahli pendukung adat.
Catitan beliau ini dikemukakan kepada Datuk Penghulu ke XIV,Datuk Rentah bin Takin dan menjunjung tinggi usaha ini dan menasihatkan supaya catitan ini dikemukakan kepada sidang Anak-anak Biduanda dari tiga Perut iaitu Inas,Dingkir dan Nuri.Malangnya usaha ini mendapat tentangan hebat dari mereka serta memberi kata putus bahawa perkara adat tidak perlu dicatitkan.


Pada awal tahun 1980 lawatan pegawai INTAN Tingkatan Tertinggi ke kampung ini bagi tujuan mengkaji kemunduran kampung Inas,kerana hampir tiga abad dibuka tetapi masih diparas kemunduran,sempat diselitkan sejarahnya supaya dapat dijadikan panduan mengatasi kemunduran kampung ini.


Apabila Datuk Rentah Penghulu ke XIV meninggal dunia,maka istiadat peristiharan perlantikan Penghulu ke XV dibuat.Datuk Bentara Jantan Datuk Mohd Yusuf bin Badur serta Buapak Tiga Carak meminta beliau menuliskan cerita perkembangan Pentadbiran adat Perpateh dikampung ini.Perkara ini telah dikemukakan pada sidang Datuk Lembaga Inas dan bersetuju menerima sebulat suara.Menurut Haji Layar,gading mana yang tidak retak,begitulah jua penulisannya serba banyak berkurang dan berharap akan dapat dibaiki oleh jenerasi akan datang.


Haji Layar bin Atong.PKL.JP
03.11.1980.


Ceritanya bermula,pada zaman dahulu..
Sebelum kampung diteroka kawasan ini dikuasai oleh Maharaja Jin yang bernama Maharaja Joing,yang beristanakan di Mahligai Lubuk Bunga sekarang ini.Hulubalang Bendahara Sekudai bernama Tuk Sabun disungai Keruh telah mempengaruhi Maharaja Joing Untuk dikahwinkan dengan Puteri Kanun yang duduk dipuncak gunung hulu sungai Jerneh (sekarang dikenali sebagai Jeram Angin).Maka dengan helah Tuk Sabun dengan Puteri Kanun Maharaja Joing dapat dipenjarakan dibawah Mahligai Lubuk Bunga.


Semenjak itu lembah Sungai Jerneh telah boleh diteroka dan tempat bercucuk tanan terutamanya padi.oleh kerana suburnya kawasan ini maka ramailah orang menbuka tempat kediaman dan berkampung halaman.Kerana air sungainya sangat jernih,mereka sesama sendiri mengambil nama kampung ini sempena air sungai iaitu Air Jerneh,dipendekan dengan sebutan Ineh dan ditulis dalam bahasa persuratan Inas hingga kekal kehari ini.
Wallahhuallam.


Semenjak kurun ke XVIII,Luak Inas merupakan sebuah Luak yang berasingan dan bersendirian serta berkuasa dibawah ketuanya Penghulu Embun Seri seorang wanita bertaraf 'Bergajah Tunggal'.Maka Inas juga dikenali dahulu juga dengan nama Jelai mengikut nama sungai yang diakui kekuasaannya oleh oleh Sultan Johor sebagai Luak yang berdaulat pada tahun 1760.Pada masa itu Penghulu Luak Inas bernama Bayan telah dikurniakan cop mohor kekuasaannya bergelar Datuk Johan Pahlawan Walat Kuala Diuh.S.H.1218 berkuasa dalam Luaknya.


Pada tahun 1773 satu persetujuan telah dibuat untuk menjemput Raja Melewar  di Pagar Ruyung untuk dirajakan di Negeri Sembilan.Penghulu Bayan telah meletakan sepenuh kepercayaan dan mewakilkan kuasanya kepada Undang Johol Datuk Setiawan II sebagai menandakan Penghulu Luak Inas juga menyertai persetujuan menjemput anak Raja dari Pagar Ruyung itu.Datuk-Datuk Lembaga Luak Inas kurang senang dan tidak bersetuju atas langkah yang diambil oleh Penghulu Bayan,mereka menganggap itu sebagai penyerahan kuasa kepada Datuk Setiawan II,tetapi kedudukan Penghulu Bayan kukuh dan tidak boleh dipecat.


Apabila Penghulu Bayan meninggal dunia,perbalahan orang-orang Inas tercetus kerana hendak memilh gantinya,perbalahan ini berlarutan dan tidak dapat kata sepakat.Maka dalam perbalahan ini Datuk Rambutan Jantan,Undang Johol ke IV menyalurkan pengaruhnya dengan menawarkan diri untuk menyelesaikan perbalahan itu.cadangan itu telah diterima oleh orang-orang Inas bahawa Datuk Rambutan Jantan Undang Johol juga berkuasa di Inas sebagai Penghulu Luak Inas pada masa itu.


Selepas Datuk Rambutan Jantan digantikan oleh Datuk Nuri sebagai Undang Johol merangkap Datuk Penghulu Luak Inas barulah dapat dilantik Penghulu Luak Inas dari waris Inas iaitu Penghulu Mantik.Semenjak itu kekuasaan yang ada Penghulu Embun Seri dahulu tidak ada lagi pada Penghulu Mantik dan taraf Penghulu Luak Inas serta Luaknya dimasukan dibawah kekuasaan Lengkungan Tanah Mengandung,bagaimanapun kekuasaan dan pentadbiran Datuk Penghulu Luak Inas dapat mengekalkan kedudukannya hingga ke hari ini bersama Datuk Lembaganya dengan menerima Lemak Tanah atau 'Political Pensions' dari kerajaan.


Susun tadbirnya diketuai oleh Datuk Penghulu mentadbir Luak,Datuk Lembaga mentadbir suku,Buapak mentadbir anak buahnya,Juak-juak Hulubalang mentadbirkan keamanan dan Pegawai masjid mentadbirkan yang bersangkut paut dengan hal ehwal Agama Islam.


Susun tadbir dalam Luak Inas yang diguna hingga sekarang.


Penghulu

  • Y.M Datuk Penghulu dari Biduanda Waris
  • Y.M Datuk Bentara Jantan dari Biduanda Waris
  • Y.M datuk Bentara Betina dari Biduanda Waris.
Datuk Lembaga
  • Y.M Datuk Menteri dari Biduanda Punggur
  • Y.M Datuk Setia Raja dari Biduanda Chenerung.
  • Y.M Datuk Baginda Maharaja dari Seri Lemak.
  • Y.M Datuk Andila dari Seri Melenggang.
  • Y.M Datuk Baginda Raja dari Biduanda Buah Petai.
  • Y.M Datuk Bangsa Balang dari Tiga Nenek atau Tiga Batu
Juak-juak Hulubalang
  • Y.M Datuk Panglima Puteh dari seri melenggang.
  • Y.M Datuk Panglima Hitam dari Biduanda Chenerung.
  • Memperang Kanan dari Seri Melenggang.
  • Memperang Kiri dari Tiga Nenek atau Tiga Batu.
  • Mengarang dari Biduanda Kabung
  • Meleman dari Biduanda Chenerung.
  • Mendalan dari Biduanda Kebangsa.
  • Mengkakap I dari Seri Lemah.
  • Mengkakap II dari Biduanda Betawi.
  • Mawan dari Biduanda Punggur.
  • Pawang Luak bagi yang berkebolehan.
  • Bidan Luak bagi yang berkebolehan.
Buapak atau ketua suku.
  • Datuk Paduka pahlawan dari Biduanda kabung.
  • Datuk Paduka Kebangsa dari Biduanda Gating.
  • Datuk Amar penghulu dari Biduanda Betawi.
  • Datuk Jelela dari Seri Melenggang
  • Datuk Lela Raja dari Biduanda Punggur.
  • Datuk Nara Sakti dari Biduanda Chenerung.
  • Datuk Nara Kaya dari Tiga Nenek atau Tiga Batu.
  • Datuk Amar Pahlawan dari Seri Lemak.
  • Datuk Paduka Jelela dari Biduanda Buah Petai.